Pertolongan Yesus

Kuasa Tuhan nyata adanya

Pengalaman yang akan menjadi ingatan saya seumur hidup .. Gidong ( website owner )

    Pada 28hb Febuari 2002 saya telah mengalami perkara yang tak pernah saya sangka akan berlaku dalam hidup saya. Pada masa tersebut Tuhan membuktikan kepada saya malah kakak serta adik saya yang ada pada masa tersebut, bahawa DIA ada dan senantiasa menjaga dam memerhatikan setiap langkah kehidupan kita. Saya ingin jelaskan bahawa sehari sebelum kejadian yang akan saya ceritakan disini, saya telah melihat satu kejadian yang pelik iaitu ; seperti biasa saya balik lewat dari pejabat kerana pada masa itu bahkan pada masa saya menulis artikel ini saya sangat sibuk dengan kerja pejabat sehingga saya terpaksa ambil kerja lebih masa, ketika saya balik dan pergi ke stesyen bas dekat perpustakaan negeri Sabah, saya seperti terdorong untuk melihat keatas atau lebih tepatnya melihat kelangit. Dan saya fikir bahawa itu cumalah perasaan saya sahaja, lalu saya mendongak kelangit, dan alangkah terkejutnya saya ketika melihat bulan pada masa itu, apa yang saya lihat adalah bulan yang luar dari kebiasaan yang kita dapat lihat seharian, ia sangat bulat dan cahayanya seperti cahaya lampu neon cerah keputih-putihan, saiznya lebih kecil dari saiz bulan ketika masa bulan mengembang, dan yang paling menghairankan saya adalah saya tidak mampu bertahan lama untuk memandang bulan itu pada masa itu, pancarannya seperti cerahnya cahaya matahari waktu siang tapi cahaya bulan itu tidak manyakitkan mata tetapi sesiapa saya yang melihatnya pada masa itu tidak akan mampu memandang dengan lebih lama, saya tidak boleh jelaskan kenapa tetapi itulah yang berlaku pada masa itu, ia kelihatannya sangat cantik atau lebih tepatnya sangat indah sekali. Lalu timbul seperti sesuatu bisikan dalam hati saya, sepertinya ada orang yang memberitahu saya seperti berikut : lihatlah keindahan yang Tuhan nyatakan dan ketahuilah bahawa Tuhan senantiasa bersama dengan mereka yang percaya dan takut akan Tuhan. Itulah apa yang saya dengar dan sungguh-sungguh sangat jelas berulang kali dibisikkan dan hati saya.

           Saya perlu jelaskan disini bahawa ketika saya memerhati keadaan bulan pada masa itu saya terhenti di sisi perpustakaan dan ditepi tempat orang lalu lalang, mungkin orang lain yang lalu disitu pasti mengatakan saya tidak siuman pada masa itu, sebab saya seorang sahaja yang mendongkak kelangit pada masa itu, dan saya tidak tahu kalau ada orang lain yang melihat keajaiban itu,jam ketika itu lebih kurang baru jam 7:40 malam. Yang lebih menghairankan lagi ialah sepertinya saya boleh mencapai bulan itu dengan tangan saya tetapi sebenarnya tidak, lagi saya katakan sangat susah untuk dijelaskan disini kenapa dan mengapa ?. saya sememangnya tidak tahu kalau saja sebenarnya itu bukannya bulan tapi sesuatu yang menyerupai bulan sebab Tuhan itu memang mampu melakukan segala sesuatu dan mampu mengadakan apa yang tidak ada bagi manusia. Akhirnya saya tahu bahawa Tuhan telah merancang semua itu berlaku pada saya setelah saya mengalami perkara yang akan saya ceritakan disini.

            Seperti biasa saya balik dari tempat kerja, dan hari ini 28hb feb adalah hari khamis dan sepatutnya saya menghadiri latihan musik sebagai MC bagi kumpulan remaja SIB Likas yang akan mengadakan lawatan pada tahun ini. Tetapi entah kenapa pada malam itu saya seperti ditahan untuk tidak pergi sedangkan saya telah pun berjanji dengan pelayan sepenuh masa PMM SIB Likas pada malam latihan hari selasa lalu, bahkan kawan saya (Spencer) juga menelefon saya untuk pergi kerana dia main drum dalam latihan itu, tetapi semangat saya yang tadinya mahu pergi tiba-tiba saja tidak mahu pergi, ini bukan kerana saya malas tetapi saya merasakan sesuatu yang menahan saya untuk pergi dan hati saya bahkan saya rasa roh saya berkata bahawa saya mesti tidak meninggalkan rumah pada masa itu, dan itulah yang saya lakukan iaitu tetap tinggal dirumah walaupun hati saya sebenarnya mahu pergi latihan musik. Semua kakak, adik dan suami kakak saya serta anak-anak kakak saya telah pun makan semuanya, dan seperti biasa saya makan terakhir sambil kami menonton TV.

     Ketika kami sedang leka menonton TV kakak saya terdengar adik lelaki saya (Mike) bernafas dengan kuat dari arah bilik, perlu saya jelaskan yang adik saya (Mike) masuk bilik ketika kami semua menonton Tv. Tarikan nafas yang kuat jelas kedengaran dan membuatkan kami semua kehairanan, dengan pantas kakak saya (Juyita) meluru masuk kebilik tempat adik saya berada disusuli oleh saya yang sama-sama berlari sama untuk melihat apa sebenarnya yang berlaku, adik perempuan saya (Marni) tidak masuk mungkin disebabkan dia masih remaja dan masih takut dengan benda benda ganjil yang berlaku, alangkah terkejutnya saya ketika melihat adik saya bernafas terputus-putus dan jelas sekali dia sedang berusaha bernafas kerana dia mengalami sesak nafas, yang lebih mengejutkan lagi ialah seluruh tubuhnya yang mengeras seperti kekejangan, badannya mulai sejuk dan peluh sejuk keluar dengan banyaknya. Adik saya cuba dengan sebolehnya menampar-nampar pipinya tetapi tiada kesan, bahkan kakak saya yang berkerja sebagai jururawat pun hanya mampu bertanya dan mengelap peluh sejuk dibadan adik saya, kenapa ini terjadi sedangkan adik saya tidak ada penyakit seperti itu bahkan sakit biasa pun dia jarang kena, inikan pula penyakit yang tidak kami ketahui puncanya, kelihatannya adik saya seperti sedang putus nafas dan tidak mampu lagi, saya melihat adik saya mulai menangis petanda bahawa dia benar-benar kesakitan, saya tertanya-tanya kenapa ini boleh terjadi keatas adik saya dan mengapa ada penyakit seperti ini.

   Saya melihat kakak saya mulai risau dan mula mencadangkan agar menghantar adik saya kehospital dengan segera, tiba-tiba timbul satu perkataan dalam hati dan benak fikiran saya iaitu "kuasa kegelapan" dan "roh jahat" dan seketika itu juga saya pasti bahawa itu bukannya penyakit biasa tetapi cubaan roh jahat untuk menguji iman percaya kami, lalu dengan otomatiknya saya berkata "mari kita berdoa" sesuatu perkara yang tidak pernah saya ajakkan pada adik bahkan kakak saya selama ini. Saya mengingat kembali buku buku bagaimana berperang dengan kuasa kegelapan yang banyak saya baca antaranya buku karangan Dr. Rebecca Brown bertajuk "bebas dari cengkeraman setan", saya mulai bertenang dan hati saya berkata bahawa hanya Tuhan sajalah pengharapan pada masa itu, secara kebetulan telah satu minggu kad yang mengandungi ayat alkitab yang berada dalam saku seluar yang saya pakai pergi kerja berbunyi seperti ini "Bagi manusia hal ini tidak mungkin, tetapi bagi Allah hal ini adalah mungkin" baru saya sedar bahawa semua ini bukan nya berlaku secara kebetulan tetapi kehendak dan rencana Tuhan.

   Lalu saya bertanya kepada adik saya dimana yang sakit, lalu saya menyuruhnya meletakkan tangan nya ditempat yang sakit dan saya menumpangkan tangan saya di belakangnya sambil kakak saya juga telah bersedia untuk berdoa bersama-sama, lalu saya memimpin doa itu dengan suara yang keras, antara yang saya ucapkan adalah seperti berikut : "Tuhan engkau telah menyatakan kemulianMu pada saya dan saya tahu dan pasti dengan iman sebuah gunung sekalipun boleh dipindahkan kalau kami percaya, inikan pula sakit penyakit yang telah Engkau kalahkan dengan bilurMu diatas kayu salib dua ribu tahun yang lalu, di dalam nama Tuhan Yesus Kristus segala kuasa dan roh jahat kami ikat dan hancurkan hanya oleh kuasa darah Yesus, hanya engkaulah pengharapan kami, dan dikembalikan segala ucapan syukur diatas semua yang berlaku ini Amin". Itulah doa saya pada masa itu dan saya boleh rasakan ada sesuatu benda yang amat merimaskan pada waktu itu dan saya pasti bahawa itulah gambaran roh jahat yang ada pada waktu itu, selesai berdoa saya melihat adik saya beransur pulih walaupun nafasnya masih kuat dan terputus-putus, lalu saya kembali ke ruang tamu, tinggal kakak saya yang bertanya sesuatu pada adik saya dan masih mencadangkan untuk kehospital kalau masih rasa sakit, namun Puji Tuhan bahawa dalam masa lebih kurang sepuluh minit adik saya kembali bernafas seperti biasa dan badannya tidak lagi kejang. Selesai itu kami sudah boleh menontong TV bersama-sama seperti biasa. Begitulah kejadian pada hari itu yang jelas membuktikan betapa kuasa Tuhan itu melebihi segalanya dan rancanganNya jauh dari rancangan manusia.

Ketika saya mengimbas kembali kejadian itu saya ketawa sendirian bagaimana saya yang tidak pernah pun memimpin doa pengusiran seperti itu mampu melakukannya dan yang pastinya kuasa Tuhan lah yang memampukan saya untuk menjadi alatnya bagi melawan kuasa kegelapan pada kejadian itu, dan saya juga pasti bahawa Tuhan juga mengizinkan saya utnuk melihat keindahan bulan yang luar biasa tempoh hari sebagai satu tanda bahawa Dia menyertai dalam segala hal. Satu hal lagi ialah Tuhan lah yang menghalang saya untuk pergi latihan pada malam itu. Dan Syukur saya telah menempuhi satu pengalaman baru yang tidak akan saya lupakan bahkan ia menjadi pembuka jalan bagi saya untuk menghadapi perkara seperti itu pada masa akan datang.

Akhir sekali saya berharap siapa pun anda percayalah bahawa Tuhan boleh memakai anda sebagai saluran berkat bagi orang lain yang memerlukan. Semoga diberkati dan tetaplah didalam Tuhan.

Sekian dari saya Daniel @ gidong

http;//belong2jesus.tripod.com